ALOR SETAR - Kedah perlu mengelak perangkap Selangor yang cuba mengekang jentera serangan Kedah daripada mendapat bekalan gol pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
Menurut ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, jentera serangan Kedah harus berhati-hati dengan taktikal barisan pertahanan skuad gergasi merah yang diterapkan pengendalinya, P Maniam.
"Mereka (Selangor) pasti mahu menyekat setiap serangan dan mensasarkan untuk tidak dibolosi di Selayang," kata Nidzam.
"Saya sedar tugas yang cukup mencabar untuk anak didik saya di Selayang, namun saya yakin dengan perancangan yang kami aturkan berserta semangat baharu untuk bangkit segera selepas dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan Sultan kami Isnin lalu.
"Inilah peluang yang harus kami manfaatkan untuk mengutip bekalan bagi mengukuhkan kedudukan supaya kami mempunyai kelebihan pada perlawanan timbal balik di Alor Setar nanti.
"Bertemu Selangor ibarat ulangan aksi final yang kami harungi tahun lalu dan saya yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh pemain senior, mereka mampu menyerap segala tekanan beraksi di laman lawan.
"Saya dapat rasakan pemain sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal dalam menempuhi perlawanan penting ini."
Enam perlawanan berlangsung antara kedua-dua pasukan sejak tahun 2015 dengan Kedah menang sekali, kalah sekali dan seri pada empat lagi pertemuan dengan Selangor.
Sumber: BH Online