Piya Tolak Jadi Calon EXCO Eksekutif KAFA


KOTA BHARU - Mohd Badhri Mohd Radzi atau lebih dikenali Piya yang dicalonkan jawatan EXCO Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada kongres tahunan persatuan negeri itu, 17 September ini, menolak pencalonan itu.

Piya yang juga kapten The Red Warriors (TRW) musim ini, berkata dia terkejut apabila namanya turut dicalonkan oleh wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ).

"Saya dimaklumkan wakil PBJ menghantar 30 senarai calon untuk merebut 10 jawatan EXCO Eksekutif KAFA yang membabitkan tokoh korporat, politik, bekas pemain negeri dan kebangsaan.

"Saya ucapkan terima kasih atas kesudian PBJ mencalonkan saya. Bagi saya ia masih terlalu awal untuk menjadi sebahagian anggota EXCO Eksekutif KAFA yang memerlukan komitmen tinggi sedangkan saya masih pemain bola sepak profesional.

"Pengalaman sebagai pemain berbeza dengan pengurusan organisasi persatuan bola sepak negeri. Saya harap perwakilan pilih calon yang mampu menggalas tanggungjawab besar itu bagi mengembalikan semula reputasi TRW musim depan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut pemilihan Presiden KAFA pada kongres tahunan itu, Piya menyerahkan sepenuhnya mandat kepada perwakilan PBJ menentukan calon yang sesuai.

"Apapun, saya tertarik dengan ketokohan dua Naib Presiden KAFA yang menawarkan diri, iaitu Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail.

"Kedua-dua calon ada kelebihan masing-masing. Muhamad Nasir berpengalaman dalam dunia korporat dan bola sepak manakala Rosmadi sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Mereka boleh memberi sinar baharu kepada pengurusan KAFA dan menaikkan kembali maruah bola sepak negeri Kelantan," katanya.

Sumber: BH Online