Polis Buru OKT Lari Dari Mahkamah


GEORGETOWN - Polis kini sedang memburu seorang orang kena tahan (OKT) yang berjaya melarikan diri ketika diiringi di Kompleks Mahkamah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, OKT terbabit yang menghadapi tuduhan berkaitan dadah itu melarikan diri kira-kira jam 5.20 petang.

Anuar berkata, dalam kejadian sama, seorang OKT lagi turut melarikan diri namun berjaya ditahan semula.

"OKT yang masih belum dijumpai bernama Khairul Nizam Abdullah Sani berusia 33 tahun dan alamat terakhirnya adalah di Jalan Siam. Dia berjaya melarikan diri ketika diiringi bersama 29 OKT lain selepas menjalani pertuduhan bersabit kesalahan dadah.

"OKT tersebut melarikan diri ketika dibawa dari lokap mahkamah ke kenderaan Black Maria selepas tamat menjalani prosiding mahkamah. Siasatan awal mendapati, OKT mempunyai kunci pendua gari yang dijumpai dalam longkang berhampiran tempat kejadian, dipercayai dibuang tahanan tersebut. Namun, kita mendapati kunci tersebut tidak sama seperti kunci yang digunakan polis," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, polis kini sedang menjalankan Op Tutup bagi mengesan OKT tersebut.

Anuar berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung tahanan yang meloloskan diri itu diminta agar menghubungi balai polis terdekat.

Sumber: Sinar Harian