Polis Buru Pemandu Rempuh Atlet Para KL2017


KUALA SELANGOR - Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda Toyota Hilux bagi membantu siasatan kes langgar lari lima individu termasuk dua atlet berbasikal Para KL2017 negara di Kilometer 12.6, Lebuh Raya Kuala Selangor (LATAR), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Roslan Abdullah, berkata orang ramai dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Kita sedang mengesan pemandu Toyota Hilux yang telah lari selepas terbabit dalam kemalangan dengan empat pelumba basikal dan seorang penunggang motosikal berhampiran susur Bandar Tasik Puteri.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat ataupun menyaksikan kemalangan boleh menghubungi pihak polis bagi membantu kita mengesan pemandu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan

Roslan berkata, ketika kejadian jam 10.45 pagi tadi, empat pelumba basikal dan seorang pengiring yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Ijok ke Rawang sedang menunggang di lorong tengah.

"Kemudian datang sebuah kenderaan Toyota Hilux dipercayai ingin menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri melanggar mereka dan kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

"Mangsa yang terbabit adalah Johari Nayan, Mohd Khairul Hazwan Wahab, Khairul Nizam Mohd Ali, Mohd Ridzuan Zainal dan Syafiq Suhaimy.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga menyebabkan kemalangan.

Sumber: BH Online