PETALING JAYA - Saingan untuk mengisi kerusi panas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang sedang hangat diperkatakan mendapat perhatian jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman.
Ketika ini, dua nama yang bakal bertanding jawatan tertinggi itu adalah pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Segalanya akan dimuktamadkan pada kongres pemilihan ke-63 persatuan itu, 17 September ini.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida pernah menaja skuad The Red Warriors (TRW) pada 2016 dengan perjanjian bernilai RM16 juta sebelum menangguh tajaannya tahun ini.
Usahawan kosmetik kelahiran Machang itu turut dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kafa.
Sebagai bekas penaja TRW, Vida menasihati mana-mana individu yang mahu bertanding jawatan presiden supaya jangan terlalu ghairah mencari publisiti murahan menerusi Kafa.
Vida berkata demikian berdasarkan pengalamannya selama hampir setahun bersama pasukan negeri pantai timur itu.
Beliau mengakui terkilan kerana hasrat untuk memajukan skuad TRW disalah anggap penyokong yang kononnya mendakwa penajaannya dilakukan semata-mata untuk meraih publisiti atas kepentingan perniagaannya.
"Saya tak dengki tapi saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai penaja dan penasihat kehormat Kafa sebelum ini. Jadi saya nasihatkan bakal calon presiden Kafa agar janganlah terlalu ghairah mencari publisiti murahan menerusi Kafa.
"Calon presiden juga kena sedia terima kritikan. Walaupun anda sanggup berkorban demi pasukan, tidak semestinya pengorbanan anda itu akan dibalas dengan sokongan kuat penyokong," katanya kepada mStar Online.
Jelas Vida, pelaburan besarnya terhadap Kelantan sebelum ini tidak menampakkan hasil apabila mendakwa penyokong tidak membantu menjana pendapatan untuk pasukan menerusi pembelian jersi dan produk kesihatan keluaran syarikatnya.
"Saya kecewa dengan penyokong Kelantan yang enggan melaburkan sedikit wang untuk pasukan. Dah keluarkan jersi ikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak.
"Saya keluarkan pula air tin (Pamoga) tapi penjualan agak perlahan. Macam mana saya nak rolling duit untuk pasukan sedangkan wang tajaan saya bergantung dengan hasil jualan produk itu," katanya.
Vida berkata segelintir penyokong menganggap beliau hanya mahu menonjolkan jenamanya menerusi beberapa pembaharuan yang cuba dibawa berbanding memajukan pasukan Kelantan.
"Saya memang seorang yang bercita-cita tinggi dan sukakan sesuatu kelainan. Sebagai seorang ahli perniagaan saya perlu tampil dengan idea-idea yang baharu untuk menjana pendapatan demi pasukan," katanya.
Sumber: Mstar Online