Pusat Aktiviti Warga Emas Pendang Operasi Hujung Tahun Ini


PENDANG - Pusat aktiviti warga emas (Pawe) yang baru dibuka dan akan beroperasi sepenuhnya pada hujung tahun ini mampu memberi kepelbagaian manfaat kepada warga emas sekitar Pendang.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia, Datuk Zulkiply Ramli berkata, kewujudan Pawe di Pendang adalah yang ke empat di Kedah selain daripada di Sungai Kob, Sungai Petani, dan Bandar Bharu.

"Pawe Pendang ini mampu memuatkan kira-kira 500 orang dalam satu masa dan kita akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan keperluan mereka dipenuhi," katanya ketika sidang media selepas Majlis pelancaran Bulan Kebajikan Negara 2017 peringkat Kedah dan Program Muafakat @Pawe, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 58 Pawe di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai tujuan penubuhan sama.

"Kita sekarang ini di dalam proses persediaan untuk menuju ke arah Negara tua pada 2030. Di Pawe, kita akan menyediakan seorang penyelaras yang bertanggungjawab menyelia keseluruhan aktiviti," katanya.

Menurut Zulkiply, Pawe juga bakal menyediakan aktiviti berbentuk keagamaan, ekonomi, riadah dan juga banyak lagi.

"Kita juga akan menjadikan Pawe ini sebagai medium jalinan hubungan di antara warga emas dan juga golongan muda," katanya.

Katanya, sebagai contoh warga emas yang berpencen dan dahulunya seorang guru ataupun pensyarah boleh menjadikan Pawe sebagai pusat untuk menjalankan kelas tambahan kepada golongan pelajar.

"Begitu juga, dengan aktiviti lain seperti riadah, golongan muda boleh bersama-sama dengan warga emas ini menjalankan aktiviti sihat," katanya.

Selain daripada itu, Pawe ini juga boleh dijadikan sebagai transit kepada anak-anak yang bekerjaya.

"Mereka boleh meletakkan ibu bapa mereka di Pawe pada waktu kerja dan mengambil semula selepas pulang daripada kerja.

"Ini adalah bertujuan bagi mengelakkan ibu bapa tinggal seorang diri di rumah dan hidup dalam kesunyian ," katanya.

Katanya, sebanyak RM80,000 diperuntukkan untuk kos pembangunan dan pengoperasian.

"Kita akan lengkapkan fasiliti seperti tempat riadah dan persekitaran yang mesra OKU," jelasnya.

Sumber: Sinar Harian