Puteri UMNO Nasihat Guan Eng Jangan 'Buli' ADUN Wanita Lagi


TINDAKAN'membuli' wakil rakyat wanita oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disifatkan tidak wajar oleh Ketua Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin 
.
Merujuk kepada tindakan Guan Eng yang didakwa membuli Adun PKR kawasan Penanti, Dr Norlela Ariffin, Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu berkata, 'perkara itu tidak sepatutnya berlaku'.

“Saya kasihan.... Beliau menangis beberapa kali dalam sidang dewan. Tak baik Ketua Menteri Pulau Pinang membuli wanita,” katanya ketika Wacana Sinar Siri 49 Menjelang PRU14: Kuasa Undi Wanita di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

Mas Ermieyati berkata demikian bagi menjawab soalan peserta  mengenai wanita di dalam Barisan Nasional yang dikatakan tidak selamat apabila ada Ahli Parlimen mempersendakan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.

'"Apa dilakukan oleh Guan Eng itu menyedihkan. Wanita ialah insan yang lemah, tetapi kenapa sebagai ketua menteri yang ada kuasa boleh memperlekehkannya" tanya beliau.

“Sebagai wanita, ia tak sepatutnya berlaku. Kita tak boleh biarkan mana-mana lelaki atau wanita membuli wanita,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya tidak hanya wanita yang memperjuangkan hak-hak wanita sebaliknya lelaki juga perlu membuat perkara sama.

Katanya, hanya wanita sanggup menjadi pejuang wanita.

"Lebih ‘wala’ jika lelaki juga memperjuangkan wanita. Mengambil contoh, di Terngganu di mana Exco Wanitanya disandang oleh lelaki. Bagi saya ia terbaik kerana mereka (lelaki) dapat tahu segala masalah wanita, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Dengan cara ini, mudah lagi exco lelaki ini faham. Tak salah beri mereka pegang jawatan yang berkaitan wanita,” katanya.

Sebelum ini, Dr Norlela yang merupakan anggota PKR tidak dapat membendung kesedihan semasa persidangan DewanUndangan Negeri Pulau Pinang dua tahun lalu apabila segala luahan yang dibawa untuk pembangunan rakyat di kawasannya tidak diberi perhatian kerajaan DAP Pulau Pinang.

Beliau yang sedih kerana luahan dan persoalannya berhubung pembangunan penduduk kawasan Penanti diabaikan turut mempersoalkan peruntukan kerajaan negeri di luar bandar amat kecil jika dibandingkan dengan kawasan bandaraya.

Dr. Norlela juga antara yang membangkitkan masalah pencemaran alam sekitar akibat operasi kilang haram yang dikatakan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan Permatang Pauh.

Beliau baru-baru ini mendedahkan bagaimana dia dilayan seperti seorang ‘pariah’ oleh penyokong Pakatan Harapan selepas Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditangkap untuk disiasat bagi jenayah rasuah yang berkaitan operasi kilang haram di Bukit Mertajam. - Kedahnews.com