TUARAN - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli adalah manusia ‘paling pintar’ di dunia sehingga mampu mempersoalkan apa sahaja keputusan kerajaan termasuklah langkah pelaburan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) yang paling menguntungkan ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Rafizi sebenarnya tidak faham tentang dasar pelaburan KWSP, namun sudah menjadi sikapnya untuk mempersoalkan apa sahaja perkara berkaitan dasar kerajaan.
Jelas beliau, sudah menjadi kebiasaan setiap dana pencen di mana-mana negara akan dilaburkan di seluruh dunia, justeru KWSP juga melakukannya hasil daripada lebihan 30 peratus perkembangan dana yang ada setiap tahun.
“Saudara Rafizi sering kali memberi kenyataan seolah-olah dia yang paling pintar di dunia, dalam bidang perakaunan, bidang ekonomi, bidang politik dan macam-macam lagi tetapi saya tahu beliau sebenarnya hanya pintar dalam bidang temberang, putar belit itu dia nombor satu.
“Dia tidak faham bahawa perkembangan 30 peratus dana KWSP setiap tahun tidak sama dengan 30 peratus tahun sebelumnya, jumlahnya berbeza maka lebihan dana itu boleh kita laburkan di AS.
“Setiap dana pencen memang melabur di seluruh dunia, kita tahu sekarang ini pasaran ekuiti AS adalah paling menguntungkan jadi KWSP boleh mengubah dasar pelaburannya dari titik A ke titik B dalam sekelip mata,” katanya kepada pemberita di sini semalam
Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan Rafizi kononnya kerajaan telah melanggar syarat perjanjian apabila merancang untuk melabur di AS seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan bersama Presiden AS, Donald J. Trump baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahman, KWSP tidak ada sebab untuk melanggar syarat-syarat perjanjiannya sendiri, malah sebelum ini telah pun melabur di 39 buah negara yang mempunyai pasaran menguntungkan.
“Itulah Rafizi, kalau saya kata dia bodoh nanti dia marah tetapi dia tidak pandai langsung, kadang-kadang dia akan kata semua orang salah ekonomi dunia salah, para penganalisis ekonomi daripada agensi penarafan salah, pensyarah-pensyarah ekonomi semua salah kalau mereka memberi pandangan positif tentang ekonomi negara.
“Yang paling pintar di Malaysia ini adalah Rafizi Ramli, tidak ada orang lebih pintar daripada dia,” ujar beliau.
Sumber: Utusan