KUALA LUMPUR - Pelakon Zizie Ezette yang sedang hamil anak kembar, rupa-rupanya mengasuh seorang lagi anak angkat yang kini berusia empat bulan setengah.
Zizie yang juga kakak kepada aktor popular, Shaheizy Sam memberitahu, ketika menguruskan pengambilan bayi yang diberi nama Aaric Zayn Izette itu, dia tidak tahu dirinya berbadan dua.
"Dalam kesibukan saya berurusan dengan ibu kandung Aaric yang ketika itu sarat hamil, saya tak sedar, rupa-rupanya Allah juga mengurniakan rezeki berganda iaitu cahaya mata sendiri dalam perut ini.
"Dipendekkan cerita, saya mengenali seorang teman yang memberitahu mengenai seorang ibu yang sedang mengandung.
"Tetapi ketika itu, saya tak tahu diri ini sudah hamil. Memang ketika itu, saya mahu mengambil seorang lagi anak angkat. Apatah lagi, anak angkat pertama, Nayla Nurjenna sudah berusia dua tahun tujuh bulan dan sesuai ada adik.
"Kuasa Tuhan cukup besar dan saya amat bersyukur dengan semua yang dilalui ini," katanya kepada BH Online.
Tambah Zizie, dia ikhlas mengambil anak angkat.
"Memang ada yang menghantar mesej melalui laman Instagram bertanyakan sebab saya mengambil anak angkat.
"Tak timbul soal saya bela angkat kerana ada yang menganggap saya mahu tunggu anak sendiri 'melekat' selepas itu.
"Saya ikhlas nak menjaga mereka. Saya sendiri sukakan keluarga yang besar tak kira daripada darah daging sendiri atau sebaliknya.
"Malah selepas ini, saya tak mahu guna istilah anak angkat untuk Jenna dan Aaric. Mereka sudah macam anak saya sendiri. Saya tak pernah fikir atau anggap mereka anak angkat pun," katanya.
Sementara itu, Zizie menafikan yang dia menggunakan teknik in-vitro (IVF) untuk hamil.
"Kalau saya guna teknik itu, saya akan mengaku. Tapi kehamilan kali ini semuanya kerana kuasa Allah. Alhamdulillah," katanya.
Mengenai kandungannya yang sudah mencapai lima bulan, Zizie mengaku pada tiga bulan pertama, dia mengalami alahan yang teruk.
"Sebelum saya dapat tahu diri ini hamil, selera makan memang bertambah. Nak itulah, inilah. Tapi apabila sudah dapat tahu hamil, selera makan berubah pula," katanya.
Zizie, 39, mengahwini Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 58, pada 2009.
Sumber: BH Online