ALOR SETAR - Fenomena alam banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Kedah kini menimbulkan rasa bimbang dan takut penduduk negeri tersebut.
Kejadian tersebut mengingatkan mereka kepada bencana banjir besar yang berlaku pada 2010 yang turut mengakibatkan penduduk mengalami kerugian sebanyak puluhan ribu ringgit.
“Pada ketika itu saya baru membeli rumah saya, tidak sampai setahun...semua perabot dan barangan elektrik pun masih baharu... tapi air naik terlalu cepat sampai enam kaki sehingga kami tidak mampu menyelamatkan apa-apa,” kata seorang penduduk, Jamilah Ismail, 50 yang kini berada di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahawanga.
Banjir kilat yang berlaku di Kedah kini telah mengakibatkan beribu-ribu mangsa terpaksa dipindahkan dan jumlahnya semakin meningkat hari ini.
Mengimbas kembali banjir besar pada 2010 lalu, sebanyak lebih 50,000 penduduk di negeri ini dipindahkan ke beratus-ratus pusat pemindahan banjir dan daerah Kubang Pasu dilaporkan paling teruk terjejas.
Malah, Lebuh Raya Utara-Selatan turut terpaksa ditutup kerana ditenggelami air selain beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas terpaksa dibatalkan apabila air mula naik ke landasan.
Menurut seorang lagi mangsa banjir, Jamilah Bibi Baberu, 52, dia trauma apabila setiap kali musim hujan kerana masih terbayang-bayang situasi ketika banjir besar melanda pada 2010.
“Selama hampir seminggu kami ditempatkan di pusat pemindahan banjir… kereta saya rosak teruk dan motosikal ditenggelami air… rumah saya pula terpaksa dicat semula sebab cat sudah rosak kerana hampir seminggu air tak surut,” katanya.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam daerah Kubang Pasu Kapten Kamalruzamal Kasa berkata, seramai 100 anggotanya kini dalam keadaan bersiap sedia 24 jam untuk melakukan operasi banjir kilat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
“Anggota turut ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir bagi melakukan kerja-kerja memantau, menyelamat dan lain-lain khidmat yang diperlukan,” katanya. - Kedahnews.com