Rakyat Malaysia Di Sekitar Gunung Agung Di Bali, Indonesia Disaran Berwaspada


KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini menasihati rakyat Malaysia yang berada berdekatan kawasan sekitar Gunung Agung di Bali, Indonesia agar sentiasa berwaspada dan mematuhi sebarang arahan oleh pihak berkuasa negara itu .

Peringatan itu susulan amaran berjaga-jaga yang dikeluarkan pihak penguat kuasa negara itu berikutan kemungkinan letusan gunung berapi berkenaan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersama-sama Konsul Kehormat Malaysia di Bali sentiasa memantau situasi tersebut serta telah berhubung dengan rakyat negara ini di sana (Bali), " menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia boleh menghubungi Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian (6221)5224947 atau +6281380813036, manakala Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +6236197318 atau +6281237154050 untuk sebarang bantuan.

Jumaat lepas, pihak berkuasa negara itu telah mengeluarkan amaran tertinggi mengenai kemungkinan gunung berapi itu akan meletus selepas lebih 50 tahun tidak aktif selain prosedur evakuasi ke atas penduduk di sekitar kawasan berkenaan.- BERNAMA