Rakyat Teruja Berjumpa Keluarga Diraja Johor


KOTA TINGGI - "Saya tak sangka terpilih hari ini. Ini saya ibaratkan hadiah Keluarga Diraja yang saya akan ingat hingga ke akhir hayat."

Demikian kata pekerja pertukangan, Abu Shan Ibrahim, 46, yang menerima bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Bantuan disampaikan sendiri Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris kepada lebih 10 penerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan MAINJ.

Abu Shan berkata, walaupun bantuan sara hidup itu diterimanya setiap bulan hari ini amat bermakna buatnya kerana terpilih menerima sendiri daripada Permaisuri Johor.

"Memang saya berbangga dan berbesar hati dan bantuan sara hidup ini dapat saya menyara keluarga iaitu enam anak dan isteri saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Majlis diadakan pada perhentian ketiga hari pertama jelajah Kembara Mahkota Johor ke-20 (KMJ) iaitu di Titian Laksamana di sini, yang turut dihadiri lebih 1,000 rakyat daerah ini.

Yang turut hadir mengikuti rombongan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. 

Sementara itu, walaupun berkerusi roda ia tidak menghalang ibu tunggal, Kamariah Mohd Salleh, 48, untuk hadir menerima bantuan dan bagi bertemu dengan keluarga diraja Johor. 

"Saya menghidap kencing manis, darah tinggi dan hampir diserang angin ahmar sebelum doktor mengesahkan kaki kiri saya mempunyai masalah saraf sehingga terpaksa berkerusi roda hampir tiga tahun.

"Sakit-sakit pun saya gagahkan juga untuk ambil peluang bertemu bertentang mata keluarga Diraja Johor pada acara Kembara Mahkota Johor kali ini," katanya yang kini menyara lapan anak.

Selepas Titian Laksamana, rombongan KMJ 2017 diteruskan ke FELCRA Sungai Ara di sini, sebelum ke Dewan Serbaguna Kampung Baru, Jemaluang dan lokasi terakhir hari pertama di Dataran Kembara, Kampung  Sri Lalang, Mersing.

Sumber: BH Online