Ramai Miliki Jantung 10 Tahun Lebih Tua


LONDON  - Satu persepuluh daripada lelaki berusia 50 tahun dikatakan mempunyai jantung yang 10 tahun lebih tua daripada usia mereka.

Dapatan itu diperoleh hasil kajian yang dijalankan oleh The Public Health England (PHE) baru-baru ini, lapor BBC.

Menurut kajian yang sama, keadaan itu bagaimanapun menyebabkan golongan tersebut berdepan risiko lebih tinggi untuk diserang angin ahmar atau serangan jantung yang boleh membawa maut.

Difahamkan, kajian itu dijalankan hasil tinjauan rambang terhadap 1.2 juta orang termasuk 33,000 lelaki berusia 50 tahun menerusi satu ujian khas untuk mengenal pasti usia sebenar jantung mereka.

Ketika ini, serangan jantung merupakan ‘pembunuh’ nombor satu manusia.

Kebanyakan kes kematian pula boleh dicegah dan melibatkan kira-kira satu perempat daripada pesakit yang berusia bawah 75 tahun.

“Mengetahui risiko penyakit berkaitan jantung dan angin ahmar adalah penting, walaupun kita semakin berusia,” kata Ketua Bahagian Penyakit Kardiovaskular PHE, Jamie Waterall.

Dalam pada itu, PHE memberi­tahu, hampir separuh daripada responden yang ditemui semasa kajian tersebut tidak mengetahui tekanan darah mereka manakala kira-kira 5.6 juta lagi rakyat England berdepan masalah tekanan darah tinggi tanpa menyedari­nya.

“Situasi ini sebenarnya sangat membimbangkan. Mereka (res­ponden) yang berdepan masalah darah tinggi mungkin menga­lami serangan jantung yang boleh membawa maut atau angin ahmar jika tidak dirawat lebih awal,” kata Dr. Mike Knapton dari British Heart Foundation.

Sumber: Utusan