Rayuan Lesen Kelab: Tiada Pengumuman Pada 15 September Ini - FAM


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan bakal membuat pengumuman mengenai kelulusan rayuan permohonan lesen berstatus kelab kepada lima pasukan yang merayu akan dilakukan pada 15 September ini.

Namun begitu, FAM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa keputusan rayuan tersebut akan diumumkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Segala rayuan akan diuruskan oleh Badan Rayuan dan kita akan maklumkan keputusannya. Bukan 15 haribulan atau lain-lain.

"Kami tidak ada menyebut sebarang tarikh untuk keputusan tersebut selagi tidak dimaklum oleh pengerusi," katanya, memetik laporan mStar.

Laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini mendakwa keputusan rayuan berhubung lesen berkenaan bakal diputuskan oleh Badan Rayuan FAM pada tarikh 15 September ini.

"Melalui tapisan awal oleh First Instance Body (FIB) FAM pada 25 Ogos lepas, Kedah FA perlu melengkapkan beberapa aspek kewangan dan akan dibawa kepada Appeal Body (AB) FAM yang akan membuat keputusan pada 15 September ini," tulis pengendalinya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, permohonan pihaknya untuk mendapatkan lesen berstatus kelab sebelum ini gagal semata-mata disebabkan oleh penyata kewangan yang tidak lengkap.

Namun begitu jelas beliau, KFA telah pun mengemukakan kembali rayuan dan kelengkapan yang diperlukan oleh pihak FAM untuk tujuan tersebut.

"KFA ditolak kerana hanya satu perkara sahaja iaitu mengenai penyata akaun persatuan tidak lengkap. Jadi kita hantar sekali lagi  penyata-penyata kewangan kita dan surat rayuan.

"Pertengahan bulan September ini mereka akan bermesyuarat sekali lagi dan harap-harap semuanya okay.

"Setakat ini perkara itu sahaja yang tidak lengkap, yang lain rasanya kami sudah lakukan yang terbaik. InsyaAllah kalau tidak ada lagi masalah lain, kita akan dapat lesen itu nanti," kata Exco Kerajaan Negeri itu  sebelum ini.

Selain KFA, difahamkan bahawa Melaka United dan Felda United juga merupakan antara pasukan yang telah membuat rayuan untuk mendapatkan status kelab untuk membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

Sebelum ini, FAM mengumumkan tujuh daripada 12 pasukan yang beraksi di Liga Super telah mendapat kelulusan lesen kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

Menurut kenyataan FAM, perkara tersebut telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos lalu.

Tujuh pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang FA, Perak FA, PKNS FC, Penang FA, Selangor FA dan T-Team FC.

"Daripada tujuh pasukan di atas, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang FA, PKNS FC dan Selangor FA turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak," ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan tersebut.

Setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

Lesen kelab FAM dan AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan.

Selain itu, sekiranya mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan Fifa dan AFC, maka lesen kelab mereka boleh ditarik balik. - Kedahnews.com