RCI: Syor Pindah 80 Juta Saham TNB Tampung Kerugian BNM


Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) diberitahu bahawa satu syor dikemukakan dalam perbincangan antara Kementerian Kewangan dengan BNM dan Jabatan Audit Negara untuk memindahkan 80 juta unit saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada BNM.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan Datuk Othman Jusoh berkata, syor yang dikemukakan dalam perbincangan pada 21 November 1994 itu bertujuan membantu BNM untuk menampung kerugiannya sebanyak RM2.68 bilion dalam urus niaga forex.

Othman, 69, yang mula berkhidmat di Kementerian Kewangan pada Februari 1972 sebagai Penolong Setiausaha merupakan saksi ke-22 pada prosiding itu berkata perbincangan itu turut dihadiri Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid.

Beliau berkata, syor itu dibangkitkan di dalam perbincangan, bagaimanapun beliau tidak mengetahui siapa yang buat keputusan agar penjualan saham-saham yang telah dipindahklan ke BNM itu dilakukan secara senyap-senyap.

"Perbincangan terbabit turut menyentuh mengenai mendapatkan surat aku janji daripada kerajaan bagi memberikan bantuan kepada BNM berhubung kerugian dialaminya," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada prosiding di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Menjawab soalan Muhammad Saifuddin berkenaan sama ada ia satu kebiasaan walaupun terdapat catatan dalam mesyuarat tetapi tidak dinyatakan kedudukannya, Othman berkata ia bergantung kepada jenis kes yang dibincangkan.

"Saya tidak tahu dengan lanjut cuma dinyatakan ada kerugian, pada tanggapan saya BNM tahu jumlahnya. Ini perbincangan secara umum, saya hanya pegawai junior ketika itu, takkan hendak bertanya jumlahnya," katanya.

Berdasarkan kenyataannya itu, Othman juga bersetuju dengan cadangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Berhad  Datuk Seri Tajuddin Atan iaitu panel RCI bahawa mesyuarat yang diadakan November 1994 antara Kementerian Kewangan dengan BNM dan Jabatan Audit Negara merupakan yang pertama kali diadakan.

"Jadi pihak yang sepatutnya mengetahui kerugian itu sudah dimaklumkan mengenainya dan terdapat perbincangan di antara BNM dan Ketua Audit Negara serta pihak berkaitan," katanya.

Tajuddin juga mencadangkan bagi pemindahan saham, ia adalah kali pertama BNM memohon bantuan untuk menampung kerugian serta mendapatkan surat aku janji, manakala saksi (Othman) tidak boleh menjawab soalan panel RCI kerana perkara itu dibincangkan di peringkat atasan.

Prosiding awam itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petronas dibantu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said dan CEO Bursa Malaysia Berhad  Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon, dan anggota Institut Perakaunan Negara K. Puspanathan.- Bernama