Redah Banjir 3 Kali Sehari Demi 'Oye'


KANGAR - Sejak banjir melanda beberapa bahagian di Perlis tiga hari lalu, sudah menjadi rutin bagi Abdullah Rahman, 65, untuk berulang dari pusat pemindahan ke rumahnya tiga kali setiap hari semata-mata untuk memberi makan kucing kesayangannya 'Oye'.

Warga emas itu sanggup meredah banjir sedalam 0.5 meter demi memastikan kucing jantan berusia tiga tahun itu yang tinggal di rumahnya di Tebing Tinggi, di sini, sentiasa sihat dan cukup makan ketika penduduk kampung diarahkan berpindah ke pusat pemindahan.

"Saya bersama isteri serta tiga anak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong sejak hari pertama banjir.

"Bukan tidak mahu bawa Oye bersama tetapi khuatir hilang, kami baru kehilangan Oya (seekor lagi kucing milik Abdullah) yang mati dilanggar kereta, jadi kami tidak mahu kehilangan kucing lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, beliau berulang alik tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang untuk memberi makan kepada kucing peliharaannya.

Ditanya mengenai banjir yang melanda di kawasannya, pesara tentera ini berkata walaupun sudah berulang kali mengalami banjir kilat, kali ini dianggapnya paling teruk.

"Minggu lalu ada banjir juga, tetapi paras buku lali sahaja, kali ini sehingga paras pinggang.

"Sejak hari pertama lagi kami sudah berpindah ke SK Bintong memandangkan isteri lumpuh," katanya.

Sementara itu, maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis mengesahkan sehingga jam 8.30 pagi tadi seramai 1,570 mangsa daripada 447 keluarga masih berada di pusat pemindahan.

Jumlah pusat pemindahan yang masih dibuka di seluruh negeri ini adalah 16, manakala lapan lagi sudah ditutup.

Sumber: BH Online