Remaja Mengaku Melontar Dan Meletupkan Dua Biji Mercun Bola


SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meletupkan dan melontar dua biji mercun bola selepas tamat perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Remaja tersebut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret P. Sarulatha.

Bagaimanapun, hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga 10 Oktober ini sementara menunggu laporan akhlak disiapkan dan dikemukakan kepada mahkamah oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan niat meletupkan dua mercun jenis bola dan melontarkannya ke aras bawah stadium itu yang mungkin boleh membahayakan nyawa orang lain.

Perbuatan itu dilakukan di tingkat tiga, Kondrum D, Stadium Shah Alam kira-kira pukul 10.50 malam, 29 Ogos lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli yang mengendalikan kes berkenaan menawarkan kos jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sarulatha kemudian menetapkan kos jamin remaja tersebut berjumlah RM3,500.

Remaja itu membayar wang jamin tersebut.

Kosmo! 31 Ogos lalu melaporkan seorang remaja lelaki ditahan selepas dipercayai membakar dan melontarkan dua biji mercun jenis bola selepas tamat perlawanan akhir bola sepak KL 2017 di Stadium Shah Alam di sini.

Remaja berusia 16 tahun itu ditahan pada pukul 10.50 malam bersama sebuah pemetik api yang masih digenggamnya.

Sumber: Kosmo