COX'S BAZAR (Bangladesh)- Hampir 400 orang terbunuh akibat pertempuran sejak seminggu lalu di barat laut Myanmar, menjadikannya keganasan paling dahsyat terhadap etnik Muslim Rohingya dalam beberapa dekad.
Menurut sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 27,400 penduduk Rohingya menyeberang ke Bangladesh dari Myanmar setakat ini, seminggu selepas pemberontak dari kumpulan etnik itu didakwa menyerang pos kawalan polis serta pangkalan tentera yang dibalas serangan tentera.
Tentera mendakwa menjalankan operasi pembersihan terhadap ‘pengganas pelampau’ dan pasukan keselamatan diarahkan melindungi orang awam.
Namun, penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berkata, tentera mengadakan kempen pembakaran dan pembunuhan beramai-ramai bertujuan menghalau mereka dari negara itu.
Pertempuran dan tindakan keras oleh tentera menyebabkan kira-kira 370 pemberontak Rohingya terbunuh, yang turut mengorbankan 13 anggota keselamatan, dua pegawai kerajaan serta 14 orang awam, kata tentera Myanmar kelmarin.
Pertempuran itu mencetuskan peningkatan dramatik dalam konflik yang meledak sejak Oktober tahun lalu, yang turut membabitkan serangan pos keselamatan tentera.
Myanmar memindahkan lebih 11,700 ‘penduduk etnik’ dari kawasan yang terjejas oleh pertempuran itu, kata tentera, merujuk kepada penduduk bukan Islam di utara Rakhine.
Global New Light of Myanmar melaporkan, lebih 150 pemberontak Rohingya mengadakan serangan baru terhadap pasukan keselamatan berhampiran kampung diduduki penganut Hindu, menyebabkan kira-kira 700 orang dipindahkan. - Reuters