Salah Diri Sendiri Jika Tak Terpilih: Sathianathan


KUALA LUMPUR - Pemain tempatan seharusnya menyalahkan diri sendiri jika tidak menjadi pilihan jurulatih untuk berada dalam skuad utama pasukan masing-masing, selepas ini.

Ia berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menambah satu lagi kuota import untuk pemain rantau Asia Tenggara dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mengulas mengenainya, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan berkata pemain tempatan perlu lebih bekerja keras untuk menghadapi cabaran lebih hebat bersaing dengan pemain import.

Katanya, antara yang perlu dilakukan termasuk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan latihan tambahan antara 20 hingga 30 minit selain daripada menjaga pemakanan dan waktu tidur mereka.

"Tidak ramai pemain muda kita buat latihan tambahan selepas berlatih bersama pasukan. Antara faktornya mereka takut diejek. Itu satu sikap pemain kita, bila nampak budak baru nak buat sesuatu, mereka ejek.

"Tengok macam Marlon Alex James dulu, selepas latihan dia akan panggil penjaga gol dan membuat latihan rembatan. Pemain tempatan pun ada seperti Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar.

"Macam kelmarin (ketika Kedah lawan FELDA United), kalau ditanya kenapa Wan Zack Haikal (Wan Noor) dapat jaringkan dua gol daripada sepakan percuma, sebab selepas latihan dia selalu ambil bola dan buat berlatih sepakan percuma," katanya.

Jika difikirkan, kenyataan Sathianathan itu ada betulnya kerana tidak ramai pemain kita yang sanggup menghabiskan masa untuk melakukan latihan sendiri dan ia belum lagi menyentuh soal diet pemakanan mereka.

Malah, Sathianathan turut menegaskan semua jurulatih memberi peluang seimbang kepada pemain, bukan saja di peringkat negeri atau kelab, malah juga peringkat skuad kebangsaan.

"Kita tidak boleh cakap pemain tempatan tidak diberi peluang. Sudah banyak peluang diberikan tapi tidak nampak juga (usaha pemain kita).

"Pemain kita kena tukar pemikiran mereka, tolong bersaing dengan sihat. Nak cakap soal pendedahan pun mereka sudah main di peringkat AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) pada usia belasan tahun.

"Sekarang ini saya lihat pemain muda negara kita memang ada potensi besar tapi mereka perlu tingkatkan lagi kemahiran individu, itu yang penting," katanya.

Sumber: BH Online