ALOR SETAR - Pemain import Kedah, Sandro Da Silva yakin dapat mempamerkan prestasi terbaiknya selepas rehat sebulan dan menganggap kembalinya aksi Piala Malaysia Sabtu ini adalah masa terbaik untuknya meneruskan misi memburu kejayaan bersama pasukan.
"Selepas berehat lebih sebulan dan menjalani latihan secukupnya saya yakin kembali mendapat nafas baru dalam memulakan saingan kumpulan C Piala Malaysia bertemu pasukan Kelantan dengan penuh semangat.
"Pertemuan Piala Malaysia ini juga akan menjadi medan untuk saya terus tingkatkan lagi komitmen dan tahap prestasi dalam usaha memburu kejayaan untuk Kedah musim ini.
"Walaupun sudah layak ke peringkat suku akhir dengan Kedah kini mengumpul 12 mata, pastinya kami juga mahu turun mencari kemenangan kali ini di Stadium Darul Aman selepas tewas 1-3 kepada Kelantan pada saingan di Kota Bharu pada 18 Julai lalu," katanya.
Sandro menegaskan, kelebihan beraksi di tempat sendiri ditambah sokongan ribuan penyokong akan menambah semangat pemain.
Katanya, tidak kira siapa lawan yang akan mereka hadapi pada suku akhir nanti semua pemain diharap bersedia mempamerkan prestasi terbaik serta komitmen tinggi seperti disasarkan ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff.
Bersama tiga lagi import iaitu Ken Ilso Larsen, Liridon Krasniqi dan Zack Anderson, Sandro kini giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Suka Menanti di Alor Setar.
Pemain kelahiran Fortaleza, Brazil ini juga melahirkan rasa gembira dalam kempen Piala Malaysia musim ini kerana terlepas peluang musim lalu apabila terpaksa berehat akibat kecederaan sejak April tahun lalu.
"Selepas melangkah pada musim 2017 dan pulih daripada kecederaan, saya tekad terus bangkit dengan aksi lebih bertenaga berbanding musim lalu dan segera mencari rentak permainan yang lebih meyakinkan," kata Sandro yang meledak 13 gol setakat ini.
Sumber: BH Online