KUALA LUMPUR - Sebulan selepas dikejutkan Brice Leverdez dalam aksi pembukaan Kejohanan Dunia di Glasgow, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berdepan situasi hampir sama apabila kembali ke gelanggang dalam Siri Super Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu dipaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set hampir sejam sebelum mengetepikan pemain tidak ternama Hong Kong, Vincent Wong 21-15, 16-21, 21-17.
Sejurus tamat perlawanan, Chong Wei mengakui, kekalahan 19-21, 24-22, 17-21 kepada Leverdez pada 22 Ogos lalu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepadanya.
“Hari ini saya tidak bermain bagus. Selepas tamat Kejohanan Dunia saya bagaikan hilang arah, hilang keyakinan.
“Sejujurnya, hari ini saya main tanpa keyakinan, terlalu berhati-hati dan melakukan banyak kesilapan.
“Harap selepas kemenangan pertama ini (selepas aksi terakhir di Glasgow) saya dapat lakukan yang lebih baik esok dan pulihkan semangat,” kata Chong Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kemenangan yang cukup mendebarkan itu membolehkan Chong Wei terus berada di landasan untuk mempertahankan kejuaraan dan memburu gelaran ketujuhnya di Jepun.
Chong Wei, 35, kini bakal berdepan Tommy Sugiarto dari Indonesia yang mara selepas menewaskan Qiao Bin dari China 21-17,21-15.
Berdasarkan rekod, Chong Wei memiliki kelebihan kerana menang kesemua 15 pertemuan mereka sebelum ini, namun memilih untuk tidak terlalu yakin.
Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua ialah beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mengetepikan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Pakin Kuna Anuvit 21-17, 18-21, 21-15.
Pemenang pingat perak Sukan SEA, Sonia Cheah juga cemerlang mara ke pusingan kedua hasil kemenangan ke atas Lee Chia Hsin dari Taiwan 21-13, 21-18.
Sumber: Utusan Online