KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengimbas kembali kenangan beliau sewaktu negara melalui hari pertama kemerdekaan, yang pada ketika itu beliau baru berumur empat tahun dan ia penuh dengan dunia permainan seperti kanak-kanak lain.
“Walaupun saya ini tergolong dalam kategori pra-merdeka, tapi terus terang, apabila negara kita mendapat kemerdekaan, saya berumur empat tahun sahaja. Tentu saya tidak ada ingatan di atas peristiwa yang sangat bermakna kepada kita semua.
"Namun saya dapat menceritakan, pengalaman saya, ingatan saya masih terpahat dalam minda saya adalah, sewaktu saya membesar di Federal Hill KL, di situlah saya masih ingat lagi, saya berbasikal, turun naik bukit dan sebagainya, saya ke sekolah, main bunga api, panjat pokok jambu, seperti mana anak muda buat,".
Beliau berkongsi kenangan penuh nostalgik itu pada sesi "Negaraku Merdeka Bersama Perdana Menteri” yang disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan pada pagi tadi.
"Saya lahir, membesar sama seperti anak-anak Malaysia,” katanya disusuli tepukan hadirin," katanya.
Sejurus itu Najib diajukan soalan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Gombak, Samuel Chau Jun Hao yang ingin tahu cabaran menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Sambil mengakui bahawa bukan mudah menjadi Perdana Menteri dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, Najib bagaimanapun berbangga kerana rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaaan harmoni dengan menghormati semangat Perlembagaan dan Rukunegara.
“Susah Samuel. Tengok rambut saya,” kata Najib sambil mengusap rambutnya disertai tawa hadirin.
Najib kemudian menjelaskan, “kadang-kadang kehendak mereka itu bertembung antara satu sama lain, namun saya bersyukur bahawa kita telah dapat membentuk sebuah negara Malaysia,” katanya. - Bernama