BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa membawa cerita bohong kepada rakyat Sabah dan Sarawak semasa beliau berceramah negeri itu baru-baru ini dalam usaha beliau untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rakyat Sarawak tahu motif sebenar Dr. Mahathir datang ke negeri itu hanya untuk mempengaruhi mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke 14. Mereka juga tahu siapa sebenarnya yang membawa projek untuk faedah rakyat ke di negeri itu sekarang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah , Datuk Raymond Tan berkata kenyataan Dr. Mahathir yang mahu melihat kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang adalah satu pembohongan.
Menurutnya Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri telah menarik hak rakyat Sabah seperti terkandung di dalam MA63 tanpa merujuk kepada Parlimen terlebih dahulu.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan telah menghapuskan hak tersebut (industri gas dan tenaga ) pada tahun 1983 hanya dengan menggunakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan tanpa dibahaskan di Parlimen sebelum dipersetujui, kanya.
“Ini adalah kes yang amat jelas pada tahun 1983 apabila Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri membatalkan perundangan tentang hak rakyat Sabah yang terkandung di dalam MA63 tetapi Sarawak dikekalkan, katanya pada sidang akhbar semalam.
Menurutnya perkara itu (MA63) berkaitan hak kerajaan negeri dalam pembekalan elektrik, industri gas serta kerja-kerja lain dalam pengedaran industri tenaga.
Beliau menjelaskan, pada tahun 1996, Dr. Mahathir turut menjalankan kempen agar hak Imigresen yang dimiliki oleh Sabah seperti terkandung di dalam MA63 dihapuskan, namun usaha berkenaan gagal kerana ditolak oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
Katanya, hak tersebut berjaya dikekalkan hingga kini selepas pemimpin-pemimpin Sabah ketika itu menolak cadangan berkenaan.
"Saya percaya Dr. Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan masih mempunyai perancangan untuk mengambil hak Imigresen kita,” katanya beliau lagi.
Sementara itu Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) memberikan tempoh seminggu kepada Dr. Mahathir untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan kononnya hak royalti minyak Sabah dan Sarawak terhakis ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sekiranya Mahathir tidak berbuat demikian, satu laporan polis akan dibuat pihaknya di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.
Sebelum ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) berkata Dr. Mahathir dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berjanji namun tidak pernah melaksanakan janji mereka hingga kedua-duanya tidak lagi berkuasa.
"Semasa Mahathir jadi Perdana Menteri, dia tak beri apa-apa kepada Sarawak. Apa yang dia beri kepada Sarawak? Cakap saja", kata Wan Junaidi yang menyifatkan lawatan dan ceramah Pengerusi Pakatan Harapanitu tidak akan memberi kesan kepada rakyat Sarawak sebalik impak buruk kepada pihak pembangkangsendiri.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata, kisah Sarawak diabaikan pemerintahan Mahathir dan Anwar diketahui seluruh rakyat negeri berkenaan dan cakap mereka (Mahathir dan Anwar) hanya berkisar tentang politik sahaja. - Kedahnews.com