Seramai 225 Orang 'Lalok' Di Pesta Liar


SERAMAI 62 orang, termasuk 13 wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan ketika menyertai pesta liar di sebuah hotel di Ipoh, malam tadi, selepas didapati positif dadah

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pesta liar itu dan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN negeri membuat serbuan di tingkat tujuh hotel berkenaan.

Katanya, ketika serbuan pada 11.30 malam, polis mendapati pengunjung yang menyertai pesta itu sedang berhibur dengan muzik kuat.

“Seramai 225 orang iaitu 123 lelaki dan 43 wanita diperiksa dengan 166 dari negeri ini manakala selebihnya dari negeri lain.

“Seramai 62 orang iaitu 49 lelaki dan 13 wanita ditahan kerana positif dadah termasuk seorang pelajar politeknik," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, semalam.

Hasnan berkata, polis turut merampas lapan pil dipercayai ecstasy di beberapa lokasi di tingkat berkenaan dan 33.5 gram dadah disyaki ganja.

“Siasatan mendapati penganjur adalah kumpulan 'Group Party' dan iklan dibuat melalui Whatsapp, Wechat dan Instagram dengan pelanggan perlu membeli tiket berharga RM58 jika dibeli awal dan RM78 jika terus datang.

"Difahamkan penganjur sudah beberapa kali menganjurkan pesta liar, termasuk di Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, biasanya di apartmen atau banglo," katanya.

Sumber: Metro