Sharnaaz Ahmad Mengaku Salah Pukul Lelaki Bangladesh, Didenda RM1,200


KUALA LUMPUR - Pelakon filem ‘Juvana’, Sharnaaz Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menumbuk muka  seorang warga Bangladesh, Julai lalu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau penjara dua bulan terhadap pelakon tersebut yang nama sebenarnya,  Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 32, selepas dia mengaku bersalah  atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz yang juga popular menerusi drama ‘ Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pemandu, Gous Ali dengan menumbuk mukanya di Kuala Lumpur Golf & Country Club  (KLGCC), Taman Tun Dr .Ismail di sini kira-kira pukul 5.30 petang, 22 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adila Noordin mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sumber: Utusan Online