Sharnaaz Pelik Kurang Terima Tawaran Berlakon


KUALA LUMPUR - Aktor Sharnaaz Ahmad mengaku pelik apabila kurang menerima tawaran berlakon, sejak akhir-akhir ini.

Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 32, memberitahu, kali terakhir dia menjalani penggambaran ialah melalui drama Awak Sangat Nakal berganding dengan Ayda Jebat, tahun lalu.

"Saya pelik tiada tawaran lakonan buat saya. Kalau ada pun, drama episod yang panjang. Saya terpaksa tolak kerana tidak mampu memberi komitmen berbulan-bulan.

"Bukan apa, bakat baharu, tidak kisahlah, sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat pendapatan tetap," katanya kepada BH Online.

Sharnaaz memberitahu, dia pernah terfikir untuk menerbitkan drama sendiri. Namun, dakwanya, mainan 'politik' dalam industri hiburan menyebabkan hasrat itu dilupakan.

"Memang perkara ini (dakwaan 'politik' dalam industri seni) tampak kecil kerana mana-mana industri pun ada masalah ini. Mengapa tidak, asyik produksi sama saja yang mendapat projek.

"Jadi saya berfikir dua kali untuk menerbitkan drama. Namun, itulah, saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana itu rezeki mereka," katanya.

Mengisi masa, Sharnaaz yang mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada 31 Mac lalu, meneroka bidang perniagaan melalui syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.

"Mungkin daripada segi lakonan tiada tawaran, namun Allah buka rezeki untuk saya meneroka bidang perniagaan. Alhamdulillah, saya terbabit dalam kegiatan pembinaan, pembersihan dan perdagangan.

"Saya tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada lakonan kerana perlu memikirkan masa depan keluarga," katanya.

Ditanya kehidupan rumah tangganya dengan kakak Neelofa itu, Sharnaaz mengaku bahagia dan merasa cukup sempurna.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan sekarang, apatah lagi sentiasa berada di samping isteri membuat saya cukup bahagia.

"Saya kuat makan sekarang. Itu yang membuatkan saya berisi," katanya.

Sumber: BH Online