Sindiket Sabun Dadah Diberkas Polis


KUALA LUMPUR - Jual dadah heroin yang siap dipotong menyerupai bentuk sabun mandi.

Itu kegiatan jenayah dilakukan sindiket dadah dianggotai tiga rakyat tempatan dan seorang warga Sri Lanka.

Anggota sindiket itu yang turut dianggotai seorang wanita dikesan aktif mengedar dadah di sekitar Sentul sejak beberapa bulan lalu.

Semua mereka bagaimanapun diberkas polis dalam serbuan berasingan pada Khamis lalu di Sentul.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Mohamed Rafiq Muhamad Mustafa berkata, susulan penahanan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Ipoh Batu 1 1/2, di sini, sebelum menemui pelbagai jenis dadah dipercayai milik sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas dadah heroin seberat 510 gram dan syabu 0. 18 gram selain wang tunai berjumlah RM1,116.

“Hasil ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek ditahan mendapati mereka positif syabu dan morfin, ” katanya, semalam.

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,150 dan untuk dijual untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: MyMetro