Siti Kasim Beri 48 Jam Kepada PAS Minta Maaf, Atau Berdepan Tindakan Saman


ALOR SETAR - Aktivis kontroversi yang dikatakan cenderung membawa fahaman liberal, Siti Kasim mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap PAS dan media rasminya, Harakahdaily sekiranya tidak memohon maaf padanya dalam tempoh 48 jam.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam, peguam itu merujuk kepada tuduhan beberapa pemimpin PAS terhadap kenyataannya tentang ibadah korban sebelum ini.

"Ini saman saya terhadap PAS dan lidah rasminya kerana fitnah yang disebarkan kepada orang ramai berhubung posting korban saya. Jangan benarkan sesiapa membuli anda," kata wanita yang dikatakan penyokong kuat Pakatan Harapan itu.

Siti dalam postingnya itu juga melampirkan surat peguam bertarikh 18 September 2017, yang ditujukan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor laman rasmi PAS, Harakahdaily.

Selain itu, surat berkenaan juga menuntut supaya media rasmi PAS tersebut menyiarkan permohonan maaf yang diletakkan di muka depan lamannya dan di tempat yang dapat dilihat dengan ketara di ruang Facebooknya selama tempoh tujuh hari.

Surat itu turut meletakkan syarat supaya permohonan maaf yang dibuat mestilah diletakkan di atas artikel yang menjadi pertikaian, sebelum dibuang daripada laman berkenaan, termasuk versi arkibnya, selepas 24 jam tindakan diambil.

Ia juga menuntut PAS dan Harakahdaily tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk tohmahan terhadap dirinya dan membayar ganti rugi yang dirasakan wajar, kerana telah merosakkan reputasinya sebelum ini.

"Kami mempunyai arahan khusus untuk memulakan prosiding perundangan terhadap anda atas tindakan anda seperti yang dinyatakan, jika gagal memenuhi tuntutan ini," katanya, tanpa dapat dilihat artikel yang menjadi pertikaian di dalam surat tersebut.

Siti dilaporkan pada 8 September lalu telah mengkritik sebuah artikel di laman berkenaan yang memetik Ketua Muslimat PAS Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali.

Dalam artikel yang disiarkan pada 7 September itu, Aishah antara lain mendakwa Siti telah menghina Nabi Ibrahim dan mengeluarkan kenyataan yang "mengheret kesesatan kepada orang lain".

Turut difahamkan bahawa ia merupakan respon terhadap posting Siti di Facebook sebelum itu, yang antara lain mendakwa Al-Quran tidak menyatakan Tuhan memerintah Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya dan tidak menuntut orang Islam mengorbankan nyawa makhluk lain.

Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Kedah, Dewan Pemuda PAS Kelantan serta Dewan Muslimat terhadap Siti ekoran kenyataan tersebut yang mencetus kontroversi itu. - Kedahnews.com