Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melancarkan Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR) 17 sebagai inisiatif menggalakkan masyarakat memerangi dan membenci jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Abdul Samat Kasah berkata program selama 12 hari bermula 18 Sept itu akan disertai 44 motosikal dan dua bas yang membawa pegawai kanan SPRM.
"Melalui program KEJAR ini, pegawai SPRM akan pergi dari negeri ke negeri untuk mendekati masyarakat dan memberi pendedahan mengenai jenis rasuah serta salah guna kuasa yang sering berlaku.
"Kami mahu masyarakat bukan sahaja benci rasuah malah tolak pemberian atau permintaan rasuah sehingga sanggup melapor dan menjadi saksi," katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama Radio pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang pelakuan rasuah kerana tindakan mereka dilindungi undang-undang.
Dalam pada itu, Abdul Samat berkata lebih 45,000 individu telah mendaftar sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) SPRM yang diwujudkan untuk memberi peluang kepada masyarakat menjadi mata dan telinga SPRM dengan penyertaan masih dibuka.- BERNAMA