Sultan Nazrin Shah Turut Titah Bendera Dikibar Separuh Tiang


IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan agar semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat pemakaman Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Titah baginda disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


"Sebagai tanda turut bersedih dan dukacita rakyat negeri Perak atas kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitahkan untuk semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat pemakaman," menurut kenyataan itu.

Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit, Alor Setar Kedah pada usia 89 tahun.

Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari. -BERNAMA