Tauke Kedai Tayar Ditemui Mati Gantung Diri Dalam Kedai


PEMILIK kedai tayar ditemui dalam keadaan tergantung dipercayai membunuh diri di premis perniagaan miliknya di Jalan Air Putih, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 9.45 pagi, mangsa sempat meninggalkan nota di lokasi ditemui supaya menghubungi kakaknya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa atau lokasi kejadian.

“Kami akan merakam keterangan pekerja, keluarga dan beberapa individu lain bagi mengetahui punca sebenar lelaki itu membunuh diri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan melutut dengan tali tersangkut pada lehernya.

Katanya, polis turut menemui tangga berhampiran mangsa dan mayatnya kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Metro