KEENAKAN rasanya menjadikan kuih tepung talam tiga rasa dijual tepi jalan Parit Panjang- Kuala Ketil di hadapan Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin menjadi buah mulut pelanggan sejak 11 tahun lalu.
Kuih tradisional itu dijual dengan harga RM2 setiap Sabtu hingga Khamis, bermula jam 1.30 petang hingga 7 petang.
Penjualnya, Abdul Nasir Ahmad, 61, berkata, tepung talam dijual sejak 2006 itu mempunyai perisa gula merah, pandan, dan tiga rasa.
Menurutnya, resipi kuih itu diwarisi secara turun temurun sejak lebih 50 tahun lalu.
"Sehari saya jual dalam 70 bungkus, alhamdulillah setiap hari habis dijual. Paling orang suka perisa gula merah. Tapi budak-budak cukup suka perisa pandan.
"Resipi ini dari keluarga. Dari umur saya enam tahun keluarga dah pasarkan tapi bukan di kawasan ini. Saya mula jual di sini pada 2006," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Ketil.
Menurutnya, dia turut menjual pulut seri muka dengan harga sama seperti tepung talam.
Menurutnya, dia memastikan bahan-bahan segar digunakan untuk membuat tepung talam yang dijualnya itu.
"Bahan-bahan untuk buat tepung talam saya gunakan yang segar sebab nak pastikan kualiti makanan.
"Contohnya, beras dan kelapa saya mesin dan proses sendiri. Untuk gula merah pula akan dimasak pada waktu malam sebelum tapis keesokkan harinya," katanya.
Sementara itu, pelanggan tetap, Ramli Hussin,65, berkata, dia selalu membeli tepung talam dijual oleh Abdul Nasir kerana sesuai dengan citarasanya.
"Rasa tepung talam ini dari dulu sampai sekarang tak berubah. Memang cukup sedap," katanya.
Sumber: Sinar Harian