'Terkejut, namun saya sedia'- Ketua Polis Negara


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun mengakui terkejut ketika dimaklumkan akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN), namun bersedia memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas itu dengan sebaiknya.

"Saya baru dapat tahu (dilantik sebagai KPN) pagi tadi. Memang agak terkejut namun saya bersedia menggalas tanggungjawab baharu ini.

"Jika dibanding dengan tugas sebelum ini (Pengarah Cawangan Khas), tugas baharu ini nyata lebih berat dan sukar kerana saya perlu menjaga 10 jabatan di bawah PDRM, saya perlu bersikap adil.

"Saya anggap ini sebagai cabaran," katanya mengulas perlantikan sebagai KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara hari ini.

Mohamad Fuzi berterima kasih kepada pihak kerajaan atas pelantikan itu dan kepada Khalid yang banyak memberi tunjuk ajar dalam menjalankan tugas.

Mengenai isu keganasan yang sebelum ini menjadi antara isu utama yang perlu ditangani ketika menjadi Pengarah Cawangan Khas, Mohamad Fuzi, 58, berkata isu global itu akan terus diberi penekanan dengan pengukuhan bahagian Counter Terrorism.

"Saya akan memohon kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan tertentu berhubung isu ini.

"Kerajaan sudah meluluskan 343 perjawatan baharu bahagian Counter Terrorism. Ini akan memperkukuhkan bahagian itu dalam Cawangan Khas, justeru saya yakin kemampuan kita menangani masalah ini di peringkat domestik atau global akan menjadi lebih berkesan," katanya lagi.

Sementara itu, Khalid ketika berucap berasa sudah tiba masanya beliau meninggalkan PDRM dan menerima ketentuan itu dengan penuh kerelaan.

"Sesungguhnya, I have given my all and my best (saya sudah berikan semuanya dan yang terbaik) dan tiada apa-apa lagi yang boleh dianggap sebagai unfinished business (tugas belum selesai) yang perlu saya selesaikan.

"Saya yakin PDRM di bawah barisan kepemimpinan baharu akan kekal sebagai pasukan dinamik dan progresif, disanjungi dan dihormati serta mampu menjadi pelindung kepada masyarakat dan benteng kedaulatan negara," katanya.

Khalid, 59, akan bersara wajib esok yang juga tarikh kelahirannya ke-60 selepas 41 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Sumber: BH Online