Terkini: Belum Reda, Kedah Dan Pulau Pinang Dilanda Banjir Lagi


ALOR SETAR - Hujan lebat sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di negeri Kedah terutama  daerah Kuala Muda dilanda banjir, menjejaskan lebih 10 buah kampung yang membabitkan lebih 500 penduduk daripada 100 buah keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (Pertahanan Awam,)  Azhar Ahmad berkata, kawasan paling teruk ialah Kampung Keda Tukang Jusoh di Mukim Bukit Meriam, Kota Kuala Muda yang melibatkan lebih 250 penduduk daripada 53 keluarga.

Kampung lain yang terlibat banjir di mukim itu  ialah Teluk Amboi dan Kampung Pulau Sayak.

Banjir itu berlaku disebabkan hujan tanpa henti serta air pasang besar sehingga mencecah pada ketinggian 2.6 meter,  katanya lagi.dalam satu kenyataan.

Kawasan lain ialah di Mukim Bujang, membabitkan Kampung Batu Lima, Kampung Bujang. Kampung Pengkalan Bujang dan Kampung Pengkalan Langgar yang melibatkan lebih 100 penduduk.

Sementara di Mukim Semeling melibatkan Kampung Paya Suri, Kampung Tye Eng dan Kampung Baru Bedong manakala di Mukim Simpor membabitkan Kampung Permatang Batu Lintang.

Bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka sehingga petang ini dan anggota pertahanan awam sedang memantau situasi banjir di kawasan berkenaan.

Di Alor Setar, air dilaporkan naik di kawasan Tanjung Chali kerana limpahan air Sungai Kedah akibat hujan selain air pasang. 

Di  Pulau Pinang, Bernama melaporkan  hujan lebat sejak pukul 3 pagi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh, lima hari selepas negeri itu dilanda banjir teruk Jumaat lepas.

Banjir kilat hari ini menyebabkan lebih 50 kawasan dinaiki air, kebanyakannya di sebelah Seberang Perai antaranya Jalan Bukit Tengah; Taman Mutiara; Jalan Tembikai; Bukit Mertajam; Taman Usaha; Lorong Usahajaya; Taman Senangin; Taman Nibong Tebal; Jalan Bukit Teh; Kampung Baru Sungai Bakap; Kampung Sethu; Lorong Janggus; dan Taman Sukun.

Kawasan-kawasan yang terjejas di bahagian pulau pula ialah Balik Pulau; Gertak Sanggul; Teluk Kumbar; Sungai Batu; Bayan Baru; Paya Terubong; Air Itam; dan Bayan Lepas.

Banjir kilat mengakibatkan kawasan terlibat dinaiki air sedalam 0.7 meter hingga 1.6 meter dan lebih 100 rumah turut dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Pang Ah Lek berkata seramai 108 mangsa membabitkan 34 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar setelah rumah mereka dinaiki air.

"Pihak APM sedang memantau kawasan banjir kilat bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dan dapat dipindahkan segera jika rumah mereka dinaiki air. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan dan air laut akan pasang besar yang kemuncaknya pada pukul 12 tengah hari.

"Setakat ini keadaan banjir terkawal dan kami akan terus memantau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.Anbalagan berkata hujan lebat turut menyebabkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Tun Sardon-Jalan Bukit Baru, Paya Terubong menyebabkan jalan utama menuju ke Balik Pulau dan George Town terhalang.

Beliau berkata jalan itu terpaksa ditutup bagi membolehkan pihak bomba, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah dan batu yang runtuh serta pokok tumbang.

"Kerja-kerja pembersihan dijangka selesai sebelum pukul 5 petang dan harap-harap tiada lagi pokok tumbang atau tanah runtuh di kawasan berkenaan dan pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Bayan-Teluk Kumbar-Balik Pulau atau Jalan Teluk Bahang-Batu Ferringhi-George Town," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata tahap air di Sungai Pinang kini melebihi paras bahaya dengan bacaan melebihi 2.9 meter berikutan hujan sejak awal pagi tadi.

Beliau berkata keadaan air laut kini menunjukkan pasang surut dan jika hujan sederhana, paras air sungai tidak akan melimpah.

"Kerajaan negeri sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi menghadapi banjir kilat kali ini," katanya.

Sementara di Perlis, kira-kira 70 buah rumah di dua buah kampung iaitu Tebing Tinggi dan Wang Besar, dinaiki air sehingga ke paras lebih satu meter dan sebanyak 18 buah keluarga terpaksa dipindahkan.

Mereka ditempatkan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong (10 keluarga), Panggas (tiga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Wang Besar (lima).

Kawasan lain yang turut dinaiki air ialah Kampung Bakau, Batu Bertangkup, Jalan Beseri dan Jalan Santan tetapi tidak serius.

Keadaan hujan berterusan itu juga menyebabkan kesemua pusat pemindahan banjir diaktifkan serta-merta bagi membolehkan mangsa-mangsa dipindahkan jika banjir semakin buruk.- Kedahnews.com