Tidak Doakan PAS, Sebaliknya Mahfuz Doakan Kemenangan Pakatan Di Raudhah


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memanjatkan doa politik di Raudhah, Masjid Nabawi supaya rakyat di negara ini memberi undi kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Wakil rakyat PAS itu dalam kenyataannya medianya mahu rakyat mengundi Pakatan Harapan untuk "mengajar" Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mengejutkan, Mahfuz yakin dan mendakwa Kerajaan kini berusaha menaikkan kadar GST selepas PRU ke-14 nanti untuk membebankan rakyat.

"Ketika ini Saya hanya mampu berdoa di sudut Raudah, Ya Allah buka lah pintu hati rakyat khususnya pengundi di Malaysia menolak UMNO BN.

"Kepada rakyat Malaysia, satu-satunya cara untuk mengajar Perdana Menteri dan kerajaan yang memperlekeh kesusahan rakyat dan seterusnya menghalang usaha mereka dari terus membebankan kita dengan menaikkan kadar GST ialah dengan mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14!," katanya dalam kenyataan media tersebut.

Namun begitu, doa Mahfuz di Raudhah itu dikatakan agak pelik ekoran PAS yang beliau wakili bukan merupakan salah satu parti komponen Pakatan Harapan, bahkan sedang hebat melancarkan serangan terhadap PAS.

Mahfuz sebelum ini meminta rakyat di Parlimen Pokok Sena yang terjejas banjir supaya menunggunya pulang dari Madinah selepas beliau dibidas langsung tidak mengambil peduli tentang rakyat di kawasannya namun sempat mengeluarkan kenyataan politik di tanah suci.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini difahamkan telah menyebarkan propaganda politik mendakwa kononnya Kerajaan BN akan menaikkan kadar GST sekiranya berjaya kekal sebagai Kerajaan Persekutuan selepas PRU ke-14.

Walau bagaimanapun, dakwaan propaganda yang dipercayai sebagai salah satu strategi untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi BN itu telah dinafikan pihak Kerajaan dalam kenyataannya baru-baru ini. - Kedahnews.com