Tinjau Keindahan Awan Dari Puncak Bukit Tok Dun


MUNGKIN ramai belum mengetahui di mana terletaknya Bukit Tok Dun? Sebenarnya bukit berkenaan bukannya baharu, tetapi ia seperti dijelmakan semula selepas pemilik tanah, Felda Global Venture (FGV) melakukan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian.

Selepas ditarah dan ditanam semula FGV, bukit berkenaan menjadi tarikan anak muda bagi tujuan pendakian riadah, malahan turut menjadi aktiviti keluarga terutamanya pada hujung minggu.

Bukit Tok Dun terletak di Pauh kira-kira 20km dari Kangar dan lima kilometer dari pekan Changloon.

Antara yang menjadi tarikannya adalah melihat awan pagi yang umpama karpet putih pada puncak bukit yang terbentang luas sebelum matahari memunculkan sinarnya.

Pendaki merakamkan kenangan ketika di puncak.
Semestinya seluas saujanan memandang, amat mengasyikkan buat mereka yang berpeluang mendakinya hingga puncak.

Ternyata puas, hilang penat walaupun terpaksa mendaki sekitar 2.5km dengan melalui 'trek balak' (laluan lori ketika proses mengeluarkan kayu yang ditebang).


Buat masa ini, Bukit Tok Dun telah ditanam semula dengan anak pokok getah oleh pengendali tanah iaitu FGV.

Bagi yang tidak pernah melalui aktiviti lasak, khasnya mendaki, lokasi ini amatlah sesuai kerana treknya tidaklah sesukar mana, cuma mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit sahaja.

Amat sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak mendaki.

Boleh dikatakan hanya 30 peratus laluan yang terpaksa mendaki dan melalui laluann yang agak sukar seperti lereng bukit dan halangan kayu.

Sumber: Sinar Online