Ucapan 'Bersemut' Isteri Buat Sharnaaz Ahmad


ROMANTIS sungguh isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila apabila wanita itu memuat naik ucapan bersempena hari lahir suaminya yang ke-32 di Instagram.

Nabila menerusi status itu mengucapkan terima kasih kepada Sharnaaz kerana tidak pernah berhenti bersamanya dan menyayanginya selain selalu ada untuknya.

Malah kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa itu turut meluahkan rasa syukur dapat memiliki suami yang sangat mencintai dirinya.

Kata-kata manis itu turut mendapat perhatian daripada pengikut mereka di Instagram yang menganggap ucapan Nabila itu sangat manis dan mendoakan pasangan itu terus kekal bahagia.

Nabila juga turut mendoakan agar mereka segera dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi.

"Selamat hari lahir sayang, semoga sayang diberi dan dilimpahkan dengan segala rahmat Allah, diberi kebaikan dan barakah.

"Saya doakan sayang panjang umur, sihat walafiat, dilapangkan rezeki dan harap dapat jadi ayah tidak lama lagi.

"Terima kasih kerana tidak pernah berhenti bersama saya, selalu ada untuk saya dan menyayangi saya.

"Saya bertuah dan bersyukur memiliki awak dalam hidup sebagai suami. Saya sayang awak @sharnaazahmad, dunia, hidup dan sayang saya selamanya," kata Nabila.

Manakala, ruang komen juga dipenuhi dengan ucapan hari jadi daripada peminat buat Sharnaaz dan mereka mendoakan pasangan ini dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi.

Sharnaaz dan Nabila disatukan sebagai suami-isteri pada 31 Mac lalu.

Sumber: Mstar Online