JELI - Misteri kehilangan kucing yang menjadi tanda tanya sebelum ini terjawab selepas tertangkapnya seekor ular sawa batik di pekarangan rumahnya.
Penghulu Mukim Jeli, Abdul Halim Abdullah berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki kehilangan kucingnya Ramadan lalu disebabkan ular sawa berkenaan hinggalah reptilia itu ditemui semalam.
"Pagi kejadian saya cuba mencari kucing peliharaan namun tidak melihat kelibatnya. Saya kemudian keluar mengruskan beberapa kerja sebelum pulang kira-kira jam 4 petang dan cuba mengesan kucing tersebut sekali lagi.
"Tapi kelibatnya tetap tak kelihatan sebelum anak memaklumkan melihatkan seekor ular sedang membaham kucing lain di sekitar longgokan kayu yang terletak kira-kira 20 kaki dari rumah saya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat ular sawa batik yang berjaya ditangkap anggota APM di sini, semalam.
Menurutnya, dia segera bergegas ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Pegawai APM Jeli, Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.11 petang.
"Tiga anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi untuk kerja-kerja menangkap ular tersebut.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kira- kira jam 6.21 petang, kami dapati reptiliar seberat 13 kilogram berkenaan berada di bawah longgokan kayu berhampiran rumah mangsa, "katanya.
Ahmad Suhaizi berkata, pihaknya mengambil sedikit masa untuk menangkap ular berkenaan berikutan kedudukannya di bawah longgokan kayu.
"Kami perlu alihkan longgokan kayu berkenaan terlebih dahulu, dan proses itu perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelak reptilia berkenaan merasa terancam dan bertindak agresif, " katanya.
Ahmad Suhaizi berkata, operasi tersebut tamat jam 7.08 petang dan reptilia sepanjang empat meter itu kemudian dibawa ke pejabat APM Jeli sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian