Ultras Malaya Tak Merajuk, Bakal Gegar Stadium Hang Jebat


PETALING JAYA- Tanpa sorakan kumpulan penyokong bola sepak Malaysia atau lebih dikenali sebagai Ultras Malaya di Stadium Shah Alam tempoh hari sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan skuad negara pada aksi final menentang Thailand bagi merebut 'ibu segala emas' pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Malah perkara itu turut diakui Ketua Jurulatih Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee.

Pada aksi final itu, skuad bawah 22 tahun (B-22) tewas tipis 0-1 di tangan negara jiran hasil kesilapan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli yang cuba menumbuk bola keluar dari kawasan bahaya gol susulan hantaran sudut pemain Thailand sekaligus masuk ke pintu gawang.

Bagaimanapun, malam ini, skuad negara mengharapkan sorakan kumpulan itu untuk menzahirkan sokongan menerusi laungan chant 'Ale Ale Harimau Malaya' ketika bertemu Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Berbeza dengan aksi final Sukan SEA tempoh hari, penyokong bola sepak tanah air kini boleh menarik nafas lega apabila Ultras Malaya mengesahkan mereka akan membuka curva (memenuhi tempat duduk) pada perlawanan penting malam Selasa.

Salah seorang komuniti Ultras Malaya, Muhammad Hazriq Abdullah, 30, berkata dia menganggarkan kira-kira 10,000 ahli kumpulan itu akan hadir memberi sokongan padu kepada skuad negara.

"Walaupun perlawanan diadakan pada hari bekerja saya difahamkan ada juga trip ahli dari Terengganu, Kelantan dan Pahang sedang menuju ke Stadium Hang Jebat. Jadi saya fikir 5,000 hingga 10,000 penyokong dalam komuniti Ultras Malaya akan hadir malam ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Muhammad Hazriq menegaskan kehadiran ahli kumpulan itu pada malam Selasa adalah disebabkan perlawanan tersebut lebih penting berbanding aksi final bola sepak lelaki Sukan SEA tempoh hari.

"Ia bukan kerana perlawanan ini glamor atau tidak. Tapi perlawanan malam ini amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju skuad negara pada Kelayakan Piala Asia 2019 dan kedudukan ranking Harimau Malaya.

"Apa-apapun Malaysia kena menang perlawanan itu kerana kita tewas 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini. Pemain kena berjuang habis-habisan," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hazriq turut menafikan dakwaan komuniti tersebut tidak membuka curva (memenuhi tempat duduk) pada perlawanan akhir Sukan SEA, 29 Ogos lalu gara-gara merajuk kerana ketiadaan tiket.

Sebaliknya, dia berkata, mereka bertindak demikian sebagai tanda solidariti buat komrad dan juga penyokong lain yang datang dari jauh mahu pun dekat untuk mendapatkan tiket tetapi tidak dapat memperolehinya kerana kelemahan sistem penjualan tiket daripada pihak penganjur.

"Kami bukan merajuk, semua itu tidak benar. Sebenarnya ia dilakukan sebagai tanda solidariti kepada komrad dan juga penyokong lain. Tidak adil jika ada di kalangan kami yang ada tiket masuk ke dalam stadium tapi ahli lain terpaksa duduk di luar stadium.

"Jadi kami putuskan untuk tidak masuk ke dalam stadium. Kami bukan memulaukan perlawanan itu. Kalau kami boikot, sudah tentu kami tidak akan memberikan sorakan dari luar stadium. Kami sentiasa memberikan sokongan padu kepada skuad negara," katanya.

Justeru, Muhammad Hazriq yang berasal dari Kedah turut mempelawa orang ramai untuk hadir memeriahkan perlawanan penting pada malam ini.

"Tidak kira sama ada komuniti Ultras Malaya atau penyokong lain, bersatulah atas nama Malaysia. Berilah sokongan dengan semangat kesukanan yang tinggi kepada Harimau Malaya," katanya.

Sumber: Mstar Online