Umat Islam Jangan Pentingkan Diri, Jangan Musnah Kesatuan Ummah - Titah Sultan Kedah


SULTAN Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan umat Islam agar tidak mementingkan diri hingga sanggup memusnah agenda penyatuan dan muafakat yang telah lama terjalin murni.

 “Sedarlah bahawa kita ini tidak lagi  mempunyai tempat lain selain tanah air berdaulat ini untuk didiami, " titah baginda. 

Sehubungan itu juga Tuanku Sallehuddin mahu rakyat menjiwai kesatuan umat dengan bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling menghormati antara satu sama lain atas dasar persaudaraan tanpa mengira latar belakang bangsa atau fahaman politik.

Tuanku Sallehuddin bertitah demikian dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1439/2017 peringkat negeri,di  Dewan Seri Negeri,   Wisma Daruaman  Alor Setar  semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Malam semalam sambutan Maal Hijrah dimulakan dengan majlis bacaan Yaasin di Masjid Zahir.


Dalam masa yang sama sama baginda juga mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak meruntuhkan tembok penyatuan sesama sendiri yang telah lama terbina sehingga sanggup menyerahkan kuasa serta menggadaikan maruah bangsa dan negara.

Baginda bertitah, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana umat Islam telah ditunjukkan dengan nilai-nilai murni seperti dipaparkan oleh kaum Muhajirin dan Ansar yang saling mengasihi serta menyayangi antara satu sama lain, atas semangat ukhuwah iaitu melibatkan saudara seiman dan seakidah.

Baginda menambah, sekiranya ada dalam kalangan umat Islam yang sanggup bertindak sedemikian, mereka boleh dianggap sebagai manusia yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup membiarkan negara menjadi terancam, retak dan hancur.

Sempena sambutan tahun baharu Islam, Tuanku Sallehuddin  berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas mufti, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim, 76, yang kini merupakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK)

Syeikh Hasbullah sebelum ini dilantik menjadi Kadi Besar Negeri Kedah dan diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawap sebagai Ketua Hakim Syariah. sebelum dilantik mufti negeri. -Kedahnews.com