Umat Islam Terengganu Tidak Perlu Was-Was Makan Daging Korban


KUALA TERENGGANU - Umat Islam di negeri Terengganu tidak perlu was-was untuk memakan daging lembu dan kerbau korban kerana kini ia dijamin selamat.

Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Mohd Pehimi Yusof berkata negeri ini bebas sepenuhnya dari penyakit hawar berdarah yang menyerang binatang ternakan tersebut sejak empat bulan lalu.

"Hasil usaha berterusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu yang melakukan pencegahan dengan menvaksin hampir 10,000 ekor haiwan ternakan telah berjaya membendung penyakit tersebut dari terus merebak.

"Sebanyak 4,000 lembu akan dijadikan korban tahun ini termasuk 2,000 ekor yang dibawa dibawa masuk luar Terengganu telah divaksinkan oleh JPV," katanya yang ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Terengganu, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga bakal menempatkan seramai 120 anggota JPV di tempat penyembelihan bagi memastikan lembu yang dijadikan korban bebas dari penyakit tersebut.

Penyakit hawar berdarah dikesan sejak 26 Mei lepas dan sebanyak 500 kes kematian haiwan ternakan telah dilaporkan oleh 38 penternak di lima daerah di negeri itu melibatkan kerugian hampir RM 2.5 juta. - BERNAMA