KEPALA BATAS - Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima dengan positif 'pengiktirafan' yang diberi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengakui kawasan Parlimen itu adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Namun begitu menurutnya, pihaknya tidak mengambil mudah dengan kenyataan itu sebaliknya akan sentiasa bekerja keras memenangi hati rakyat serta menjaga kebajikan semua penduduk di Kepala Batas tanpa mengira batas politik.
“Kejayaan BN di kawasan parlimen ini adalah kesinambungan daripada pemimpin terdahulu yang mengutamakan rakyat dan kenyataan Guan Eng itu mengesahkan semuanya.
“ Tapi kami tak pernah ambil mudah dengan apa yang dikatakan itu serta tak mendabik dada sebaliknya akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Korban Perdana Parlimen Kepala Batas di Permatang Langsat dekat Pinang Tunggal di sini semalam.
Sebanyak 43 ekor lembu dikorbankan pada program itu yang dihadiri lebih 1,000 penduduk yang turut sama bergotong-royong menguruskan daging itu.
Guan Eng baru-baru ini mendakwa Pas hanya berangan-angan seperti Mat Jenin apabila berhasrat untuk merampas Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang kerana kawasan itu adalah kubu kuat UMNO.
Reezal Merican menambah, pihaknya terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk turun bertanding di Kepala Batas serta tidak pernah menghalang kehadiran pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP di situ.
Sumber: Utusan Online