WANG simpanan RM23,000 selain barang kemas antara yang hangus dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Jejulok Haji Senik, Tumpat, 9.15 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Nik Fatimah Daud, 67, dan ayahnya, Daud Abdul Rahman, 91, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar 100 peratus.
Fatimah berkata, ketika kejadian dia ke pasar tani terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk membeli barang keperluan.
"Sebelum keluar, saya ada panaskan laukikan rebus, tapi tidak ingat sama ada sudah menutup api atau belum ketika keluar rumah bersama anak saudara.
"Tidak lama selepas itu, jiran menelefon memberitahu rumah saya terbakar dan dari pasar tani saya dapat lihat asap tebal memenuhi kawasan rumah.
"Saya bergegas pulang dan sangat terkejut apabila melihat rumah musnah," katanya dalam linangan air mata.
Nik Fatimah berkata, ketika kejadian, anaknya, Mohd Noor Mat Yusof, 40, sedang tidur di ruang tamu dan tersedar apabila merasa bahang panas, manakala Daud yang sudah uzur berehat di bangsal sebelah rumah, diselamatkan orang kampung.
Dia sedih apabila wang simpanannya berjumlah RM10,000 diletakkan di beberapa tempat di dalam rumah, musnah termasuklah wang jualan lembu (RM4,000).
"Barang kemas juga habis musnah. Simpanan ayah hasil dari bantuan JKM yang disimpan setiap bulan selama empat tahun (RM13,000) di dalam botol plastik, bawah tilam dan sampul surat juga hangus," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.41 dan tiba 20 minit kemudian.
Seramai enam anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor tiba dan kebakaran dapat dikawal pada 10.20 pagi.
Sumber: MyMetro