Wanita Dipercayai Memandu Dalam Keadaan Mabuk


NIBONG TEBAL - Seorang wanita yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Sungai Bakau, Sungai Acheh, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa Chow Wan Yee, 27, memandu Perodua Viva dari arah Sungai Bakau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bagan Ajam, Butterworth.

"Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta dipercayai baru balik makan dan minum di sebuah restoran di kawasan Sungai Bakau dan dia dipercayai hilang kawalan sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semasa kejadian wanita itu memandu bersendirian dan berikutan kemalangan berkenaan mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, wanita itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan pihaknya akan mengambil sampel darahnya untuk  pemeriksaan lanjut.

Shafee  berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan saya meminta kerjasama orang ramai yang melihat kemalangan itu agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian