Wanita Ditemui Mati Ditikam Di Perut Dan Dada, Dipercayai Disamun


KUANTAN - Seorang wanita ditemui mati dengan kesan tikaman di bahagian kanan perut dan kiri dada dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Hijrah, Penor, dekat sini, semalam.

Mayat mangsa, Norhasilah Ismail, 34, ditemui oleh suaminya, Nasrul Mansor, 32, yang baharu pulang mengambil dua anaknya dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berdasarkan siasatan, mangsa pulang ke rumahnya kira-kira jam 8 pagi selepas menghantar anaknya ke sekolah.

"Ketika kejadian mangsa bersama dengan anak lelakinya yang berusia empat tahun dan dipercayai diserang oleh seorang suspek dipercayai yang berada dalam rumah.

"Siasatan juga mendapati, berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian kanan perut dan kiri dada menyebabkannya meninggal dunia.

"Bagaimanapun anak mangsa tidak dicederakan dan dikurung di sebuah bilik di rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ada cubaan samun.

"Kita sudah minta suami mangsa untuk memeriksa sekiranya ada barangan hilang," katanya.

Katanya lagi, ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah kerana keluar bekerja awal pagi.

Abdul Aziz berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi dikebumikan.

Beliau berkata, polis juga akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan bagi mengenal pasti suspek yang melarikan diri.

"Mengikut siasatan awal, suspek dipercayai memakai topeng, bagaimanapun kita tidak pasti kenderaan digunakannya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: Astro Awani