KUALA LUMPUR - Seorang pelancong wanita warga Kanada berkongsi pengalamannya mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Alunan itu sempena berlangsungnya Gema Wahyu World #QuranHour, hari ini.
Mahu dikenali sebagai Sarah, 26, berkata, dia datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti.
"Awalnya saya hanya berjalan di sekitar Kuala Lumpur untuk menikmati suasana bandar ini.
"Tetapi, ketika melalui di depan masjid ini, saya lihat ada satu majlis yang menarik dan perlu untuk dihadiri.
"Saya memakai jubah yang disediakan sebelum masuk ke dalam masjid. Bila masuk sahaja saya duduk dan mendengar apa yang cuba disampaikan dalam majlis ini," katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini petang tadi.
Menceritakan pengalamannya itu, wanita bukan beragama Islam itu yang kini menyambung pelajaran di Singapura berkata, hari ini adalah pengalaman baharu buat dirinya.
"Saya pertama kali masuk ke dalam masjid. Bacaan itu saya tidak faham tetapi ia amat cantik," katanya.
Menurutnya, ia satu pengalaman yang baik untuknya.
Sumber: Sinar Online