Wanita Rusia Didakwa Tawar Khidmat Seks Menerusi WeChat


KOTA KINABALU - Tiga wanita warganegara Rusia yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah hotel di Plaza Wawasan, Coastal Highway di sini petang semalam. 

Ketiga-ketiga wanita berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditangkap ketika serbuan dilakukan di tiga buah bilik berasingan hotel terbabit pada pukul 5.10 petang.

Dua lelaki tempatan berusia 36 dan 48 tahun disyaki pelanggan turut ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Kinabalu dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sabah, Datuk Salehhudin Abd. Rahman berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan disyaki menawarkan khidmat seks dan mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat.

"Ketika operasi, dua daripada suspek sedang melayan pasangan masing-masing manakala seorang lagi difahamkan tidak mempunyai pelanggan.

"Hasil serbuan kami turut menemui kondom, telefon bimbit dan wang tunai RM2,240 di dalam bilik hotel terbabit," katanya hari ini.

Tambah Salehhudin, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas dalang kegiatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan.

Sumber: Kosmo