Wany Hasrita Rimas Digosipkan Dengan Tajul


Di sebalik kemanisan bergelar selebriti, ada cabaran besar menanti apabila mudah dihimpit kontroversi dan gosip panas.

Itu senario biasa yang perlu dihadapi anak seni. Setiap percaturan dan tindak-tanduk menjadi perhatian masyarakat.

Banyak mata memandang sekali gus bertindak selaku hakim dalam menilai apa yang yang dilakukan.

Situasi itu membuatkan penyanyi Wany Hasrita sentiasa berhati-hati terutama apabila dikaitkan menjalin hubungan dengan penyanyi baru, Tajul Arif selepas lagu duet mereka, Di Sana Cinta Di Sini Rindu menjadi siulan ramai.

Meskipun Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 25, tenang, jauh di sudut hati dia kurang selesa apabila ada yang masih menjaja kisah peribadinya.

“Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini, begitu juga diri saya. Bagi saya gosip dengan Tajul tidak manis jika ia terus diperkatakan. Oleh itu, saya cuba untuk tidak terlalu kerap memuat naik gambar bersama dia di media sosial.

“Tidak dinafikan kami kerap berjumpa atas urusan kerja. Kami juga sering membuat persembahan bersama. Bagaimanapun, andai tiada urusan penting, saya cuba jarakkan diri kerana tidak mahu terus dikaitkan dengannya ,” katanya.

Kata Wany, sebagai wanita dia juga memiliki keinginan untuk dicintai dan mencintai tetapi dengan tanggungjawab besar yang dipikul terhadap keluarga, dia terpaksa mengetepikan rasa itu.

“Soal hati bukan keutamaan saya buat masa ini. Saya ada tanggungjawab lebih besar iaitu mahu menyara ibu dan keluarga. Pengurusan pun menasihati saya supaya fokus kepada kerjaya yang baru bermula.

“Saya tidak mahu sia-siakan peluang ini. Lama saya menyimpan keinginan untuk berada dalam industri. Jadi biarlah saya berkorban untuk memajukan diri sebelum bersedia membuka hati untuk seseorang,” katanya.

Jaga maruah

Siapa sangka anak jati Cheras, Kuala Lumpur ini semakin bersinar dalam industri hiburan tanah air. Kehadirannya diterima ramai sejak lagu Menahan Rindu berjaya memikat hati pendengar.

“Alhamdulillah saya terharu dan bersyukur dengan pencapaian ini. Semua ini berkat kesabaran dan reda dengan ketentuan Ilahi. Bukan mudah menambat hati peminat namun inilah yang dinamakan rezeki. Saya sangat menghargai peluang ini.

“Ramai menanti peluang berada di tempat saya sekarang malah ada di antara mereka terpaksa menunggu lebih lama. Doakan semoga saya terus istiqamah dan berusaha keras dalam bidang ini. Saya berjanji terus konsisten mempertahankan nama.

“Ini sumber kewangan saya untuk membantu ibu. Selagi ada kudrat, saya akan melakukan yang terbaik bagi membahagiakan ibu,” katanya.

Wany berkata, nasihat dan pesanan ibu supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga menjadi azimatnya setiap kali melangkah keluar dari rumah. Wany juga tidak terlepas mengingatkan diri supaya tidak membiarkan diri dihanyut keseronokan.

“Saya beruntung ibu sentiasa ada di sisi dan memerhati setiap langkah saya. Sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan ibu membuatkan saya sedar diri dan ambil serius soal kerja,” katanya.

Pensyarah

Melanjutkan perbualan, Wany percaya populariti bukan jaminan untuknya terus bertahan. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU), Shah Alam ini berhasrat menyambung pengajian di peringkat sarjana tahun depan.

“Saya terpaksa tangguhkan dulu hasrat menyambung pengajian kerana mahu fokus kepada kerjaya nyanyian. Namun, saya tidak pernah lupakan keinginan untuk terus belajar demi masa depan yang lebih terjamin.

“Saya mahu menjadi pensyarah dan akan berusaha merealisasikan cita-cita ini. Insya-Allah, tahun depan saya akan sambung kuliah,” katanya yang kini tampil lebih matang dengan single terbaru berjudul Rintihan Rindu.
  
Sumber: Metro