Warga Emas Berusia Lebih 74 Tahun Akhirnya Dapat MyKad


KUALA PERLIS - Penantian seorang lelaki warga emas berusia lebih 74 tahun untuk mendapat kad pengenalan diri aklhirnya tercapai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis menyerahkan dokumen tersebut kepadanya pada Khamis.

Ketiadaan kad pengenalan diri menyusahkan Main@Ismail Samsu untuk memohon bantuan termasuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Menurut warga emas itu, beliau berhijrah dari Thailand untuk tinggal di Perlis tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 sebelum mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita tempatan serta mempunyai 10 orang anak.

"Di Perlis saya tinggal berpindah-randah dan melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi nelayan. Hari ini saya bersyukur kerana disahkan sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada media selepas menerima MyKad daripada pengarah JPN Perlis, Mohd Nasharudin Md Yusof, di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Perlis.

Isteri beliau, Manis Borhan, 74, yang turut menyaksi detik bersejarah itu berkata suaminya dikenakan caj seperti warga asing apabila mendapatkan rawatan perubatan di klinik atau hospital kerajaan.

Katanya, suaminya pernah memohon MyKad tetapi didakwa tidak mempunyai dokumen yang lengkap menyebabkan permohonannya ditolak oleh JPN.

Mohd Nasharudin berkata, Arahan JPN bilangan 7/92 menjelaskan pemegang Sijil Taraf Perakuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia diterima pakai untuk memohon taraf kerakyatan dan mendapatkan MyKad.

"Dalam kes ini, Main@Ismail memiliki sijil berkenaan bertarikh 23 Mac 1970 dan Kad Pengenalan Biru atau MyKad boleh dikeluarkan kepada warga emas itu tanpa prejudis," katanya.

Dalam kes lain, hasrat dua beradik yang bekerja sebagai nelayan untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan tercapai dengan bantuan JPN yang mempercepatkan permohonan mereka.

Amirul Amran, 21, dan Affisa Amran, 20, menerima dokumen berkenaan daripada exco kerajaan negeri, Nurulhisham Yaakob di rumah meeka di Kampung Banir Tembus, Simpang Empat.

"Kami bersekolah sehingga darjah enam sahaja dan pernah ditahan oleh pihak berkuasa kerana gagal menyerahkan dokumen pengenalan diri menyebabkan kami takut berpeleseran selain diejak rakan-rakan semasa bersekolah.

"Kini kami tidak perlu bimbang untuk keluar dari Perlis. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nurulhisham dan JPN yang meralisasikan hasrat kami ini," katanya.

Nurulhisham, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, berkata penyerahan dokumen pengenalan diri kepada dua beradik itu termasuk dalam program 'Walkabout Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat Negaraku' aas inisiatif JPN untuk menyelesaikan masalah rakyat.- BERNAMA