LELAKI warga Thailand ditahan dengan dadah bernilai lebih RM30,000 diikat di betis kanannya di sekatan jalan raya di Kilometer 4.5 Jalan Pengkalan Hulu-Betong, dekat Pengkalan Hulu, semalam.
Dalam kejadian 5.45 petang itu, suspek, 25, menunggang motosikal bernombor plat Thailand seorang diri dalam keadaan mencurigakan.
Keadaan suspek yang menggelisah dan cemas sebaik dia ditahan menimbulkan syak empat anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan 5 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Pengkalan Hulu yang bertugas.
Komander AKSEM Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, pemeriksaan pada badan suspek mendapati bungkusan besar diikat dengan pita pada betis kanan.
“Anggota kami menjumpai satu bungkus sampul surat berwarna putih yang diikat dengan pita hitam di betis sebelah kanannya yang di dalamnya mengandungi tiga paket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 152 gram dengan nilai RM30,400.
“Suspek cuba menyembunyikan dadah berkenaan dengan mengikat di betis kerana sebelum ini pemeriksaan lebih diberikan terhadap kenderaan serta dalam beg galas dan poket setiap orang yang keluar masuk di sempadan itu,” katanya ketika dihubungi di Pengkalan Hulu, semalam.
Kasturi berkata, suspek mengaku masuk ke negara ini beberapa hari lalu untuk menziarahi saudaranya yang bekerja di Pengkalan Hulu dengan hanya beberapa kali masuk dengan menggunakan pas sempadan yang sah.
Menurutnya, suspek belum mempunyai sebarang kes di negara ini dan kini ditahan reman selama tujuh hari di IPD Pengkalan Hulu.
“Suspek diserahkan kepada bahagian narkotik IPD Pengkalan Hulu dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Sumber: MyMetro